Tuesday, August 20, 2013

MB MINTA KAKITANGAN AWAM NEGERI DAN PERSEKUTUAN BERUBAH SIKAP DAN PRO AKTIF


Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini meminta KCS Kedah dan kakitangan kerajaan Kedah serta Persekutuan berubah sikap lebih positif dan pro aktif dalam memberi perkhidmatan untuk rakyat negeri Kedah.


MENTERI BESAR KEDAH DATUK MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Katanya, kakitangan kerajaan perlu tingkatkan inovasi dan cepat adaptasi perubahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memajukan rakyat negeri Kedah.

"Kakitangan kerajaan negeri dan Pusat harus sama-sama berganding bahu meningkatkan urustadbir yang baik lagi cekap bagi memenuhi harapan rakyat negeri Kedah yang memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional"jelas Mukhriz ketika berucap dalam perjumpaan dengan kakitangan Kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau juga berharap dalam memberi perkhidmatan KCS Kedah yang berada dibawah DYMM Sultan Kedah agar menjaga nama baik DYMM Sultan Kedah dan kakitangan kakitangan kerajaan Persekutuan menjaga nama baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk rekod, KCS Kedah pernah bergolak ekoran isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Perlantikan Yang DiPertua Majlis Daerah dan rombakan Pegawai Daerah semasa era pemerintahan kerajaan Pas sehingga berlaku demonstrasi jalanan, surat layang dan perang cyber.

Beliau juga menasihatkan kakitangan kerajaan supaya lebih beretika, akauntibiliti, menghindari rasuah, tidak pilih kasih.

Sambil itu Mukhriz juga memberi amaran dan ingatan  agar peristiwa hitam KUIN tidak berulang kembali dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah sekarang.

Menyentuh mengenai arus pembangunan Kedah yang bakal dibawanya, Mukhriz memberitahu pembangunan Kedah akan berasaskan teknologi tinggi disamping tidak mengabaikan industri pertanian.

"Alor Setar akan menjadi distinasi pelabur dan ilmuan" tambah Mukhriz lagi.

Monday, August 19, 2013

MUKHRIZ AKAN PASTIKAN ZON INDUSTRI PETROLEUM YAN (ZIPY) TERLAKSANA

Cadangan pelaksanaan Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) memerlukan usaha bersepadu daripada pihak yang terlibat untuk memastikannya berjaya, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
  
Beliau berkata kerajaan negeri amat berminat untuk menjayakan projek bernilai berbilion ringgit itu, yang mampu memberi pulangan lumayan dari sektor minyak dan gas tetapi tidak menjangkakan kejayaan yang mudah kerana Kedah kurang pengalaman dalam industri petroleum.
  
"Kedah sebelum ini tidak pernah sinonim dengan industri minyak dan gas. Jadi, kita boleh bayangkan kita kena bina sesuatu dari tiada apa-apa kepada satu industri. Ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena 100 hari pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah hari ini. Selain itu, katanya terdapat beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk berkenaan pengambilalihan tanah, rakan pelaburan Merapoh Resources dan sumber minyak mentah, sebelum projek itu boleh dilaksanakan.
  
Malahan, kata beliau pemaju projek itu, Merapoh Resources Corp Bhd telah diminta untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan untuk mengelakkannya daripada menjadi projek "gajah putih" kelak.
  
Mukhriz berkata penambakan laut dicadangkan sebagai alternatif penyelesaian kepada projek berkenaan manakala sebuah syarikat dari China berminat untuk melabur di kawasan itu.
  
"Saya belum melihat laporan mengenai kemampuan syarikat dari China itu tetapi saya difahamkan bahawa syarikat tersebut ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jadi saya fikir mereka tentu mampu untuk melabur berbilion ringgit di kawasan tersebut," katanya.
  
Namun kata beliau, faktor penentu kepada projek itu adalah sumber minyak yang bakal diperoleh untuk diproses di zon industri petroleum berkenaan.     
"Sebelum ini, walaupun Iran disebut bersedia untuk membekalkan minyak mentah, itu belum cukup lagi kerana seperti yang dimaklum, Iran berhadapan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS)."
  
"Kita tak mahu bersengkokol dengan AS tetapi pada masa yang sama susah untuk mendapatkan (perkhidmatan) perkapalan dari pelabuhan di Iran untuk sampai ke Malaysia," katanya.
  
ZIPY, yang diumumkan pada 2007, adalah hasil perancangan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) pada masa itu, yang melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak bagi memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara di Asia Timur.
  
Kerajaan diterajui Pas, yang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, bersetuju meneruskan projek itu dan menukar namanya kepada Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh).
  
Namun, kerajaan negeri Pas yang mahu menggunakan kaedah lain menambak laut berbanding cadangan awal yang melibatkan pengambilalihan tanah, gagal melaksanakannya, dan mereka memberi alasan kononnya projek itu tergendala disebabkan pemaju yang dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.
  
Mengikut perancangan awal kerajaan BN, projek itu dijangka siap tahun ini dan mampu menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri selain membuka lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

MB JAMIN KOTAKAN AKUJANJI PRU13

DATUK PADUKA MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Kerajaan negeri akan memastikan keperluan serta kebajikan rakyat tidak dipinggirkan selain memastikan pelbagai kemajuan dan segala pembangunan negeri berjalan lancar.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, antara rancangan itu ialah membina dan menaik taraf jalan-jalan kampung, membaik pulih jalan taman perumahan, mewujudkan lorong motosikal di jalan-jalan utama selain memastikan penyelenggaraan dan baik pulih jalan negeri berjalan mengikut jadual.
"Kerja membina dan naik taraf ini akan dilaksanakan bagi jalan-jalan kampung sepanjang 500 kilometer di seluruh negeri. Ini bagi memberi kemudahan kepada rakyat yang tinggal di kawasan kampung," katanya pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz berkata, kesemua aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dilaksana dan ditunaikan bagi memastikan kemakmuran rakyat Kedah tidak terabai.
"Segala janji yang telah dibuat pada pilihan raya akan kita kotakan bagi memastikan kesejahteraan, keselesaan dan  kemakmuran rakyat Kedah terjamin.
"Ibu negeri Kedah akan mengalami perubahan yang ketara apabila diangkat menjadi Bandaraya Metropolis yang bakal menjadi tumpuan para ilmuwan melalui penubuhan universiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi," katanya.
Mukhriz berkata, penubuhan UTC di Kedah merupakan inisiatif Perdana Menteri bagi memberi kemudahan kepada rakyat sejajar dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"UTC kelima di Malaysia ini membolehkan rakyat melakukan segala urusan harian dengan lebih mudah kerana UTC telah menghimpunkan 32 agensi Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan swasta serta 11 agensi kerajaan negeri di bawah satu bumbung," katanya.

UTC Penuhi Hasrat Rakyat Kedah



Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas merupakan satu kemudahan yang amat ditunggu oleh rakyat Kedah khususnya penduduk sekitar bandar raya ini.
 
UTC Kedah, pusat sehenti untuk semua perkhidmatan awam dan swasta, yang mula beroperasi sejak 23 Julai lepas menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di bawah satu bumbung, yang melibatkan 32 agensi kerajaan persekutuan, badan berkanun dan swasta, serta 11 agensi kerajaan negeri.

 
Bangunan UTC Kedah itu sendiri merupakan satu transformasi oleh kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kewangan kerana ia adalah sebuah ruang kosong yang tidak berpenghuni sejak 2009 dan suasananya suram sebelum ini.
 

UTC Kedah bernilai lebih RM50 juta dan dengan keluasan 23,226 meter persegi ia adalah yang terbesar di kalangan lima UTC yang diwujudkan di negara ini selepas Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Perak. Ia dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, setiap hari kecuali cuti umum.


WAWANCARA DATUK MUKHRIZ TUN MAHATHIR SEMPENA 100 HARI MENJADI MB KEDAH




"Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai pihak untuk terima transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya. Transformasi ini bukan perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang menuntut mereka keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah nasib secara drastik. Ia perlukan keberanian" YAB DATO PADUKA MUKHRIZ TUN MAHATHIR

DATUK Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-10 pada 6 Mei 2013, setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Kedah dalam PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi Dun.

Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam melantik lapan Exco dalam melicinkan pentadbiran, di mana beliau memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan & Syarikat Milik Kerajaan Negeri.

Ikuti wawancara Datuk Mukhriz sempena 100 hari menjadi MB Kedah:

Sebaik BN berjaya rampas kembali Kedah dalam PRU13, apakah pendekatan yang diterapkan dalam pentadbiran untuk menawan kembali sokongan rakyat?


Mukhriz: Kerajaan BN mengambil pendekatan berhemah sejurus mengambil alih pentadbiran negeri, di mana kita mengambil alih pemerintahan secara perlahan tanpa paksaan terhadap mana-mana pihak. Kita tidak drastik dengan arahkan mana-mana individu meletak jawatan dalam kerajaan, tidak pernah berdendam dengan pengurusan terdahulu. Saya juga memupuk hubungan baik dengan pihak pembangkang, pada hari kedua dilantik sebagai Menteri Besar, saya mengunjungi bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak di Kedah Medical Centre (KMC) dan turut melawat beliau di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebanyak tiga kali. Saya anggap ini tanggung jawab saya selaku Menteri Besar baru, mewakili kerajaan negeri menghormati dan mengambil tahu kebajikan beliau. Saya dapati pendekatan saya ini diterima baik semua pihak, sama ada Pas mahupun Umno.

Bagaimana penerimaan awal terhadap Datuk sejurus peralihan kuasa?
 

Mukhriz: Pendekatan sama juga saya terapkan dalam pentadbiran mahupun perubahan di peringkat kerajaan negeri, saya tidak akan lakukan perubahan drastik hingga mencetuskan rasa panik kakitangan khususnya Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS). Apa jua perubahan dibuat dengan mengkaji situasi semasa, sekiranya perlu. Malah dalam minggu pertama sejurus memegang pentadbiran, saya adakan perjumpaan bersama KCS secara tertutup. Saya akui kalangan KCS ada yang cenderung politik, ada memihak kepada Umno dan ada sokong Pas. Itu hak individu, cuma satu pesanan saya, berkhidmat kepada setiap lapisan masyarakat tanpa pilih kasih dan buang dendam kerana kita adalah pegawai kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat. Kepada mereka yang tidak menyokong BN, saya harap jangan cuba sabotaj kerajaan negeri, sama ada dengan melengahkan kerja atau tidak luluskan permohonan atau enggan kerjasama dengan ketua jabatan. Ia mudah dibuat namun beri impak negatif kepada negeri. Pendekatan berhemah ini akan saya teruskan pada masa akan datang, kerana kita sudah lama dibelenggu polemik politik yang memecahbelahkan masyarakat. Saya harap kedua pihak akan main peranan masing-masing dan elakkan persengketaan agar tidak jejas kepentingan rakyat.



Kedah sinonim dengan negeri pertanian dan boleh dikatakan agak terbelakang berbanding negeri lain, apa perancangan awal Datuk untuk pulihkan imej selain lonjakan prestasi ekonomi Kedah?

Mukhriz: Saya orang baru di sini dan tak anggap mempunyai penyelesaian kepada semua masalah, terutama aspek ekonomi dalam membangunkan Kedah. Saya juga tiada pengalaman dalam jawatan peringkat negeri sebelum ini, malah saya akui hubungan dengan kerajaan negeri pun kurang rapat. Namun sebagai orang baru, ada juga kelebihannya. Saya tidak dibelenggu masalah terdahulu, saya datang dengan kacamata baru dan tak buruk sangka pada mana-mana pihak. Perancangan awal saya mahu wujudkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) untuk bawa masuk pakar dalam pelbagai bidang dari dalam atau luar Kedah. Fikirkan strategi bersama untuk bangunkan Kedah dan pilih sektor yang wajar diberi tumpuan, contohnya, pertanian, pelancongan, industri automotif serta getah berteknologi tinggi. Semua perkara ini sedang diperhalusi untuk menjadikan bandar raya ini membangun pesat. Kita juga akan tinjau projek-projek jangka pendek, sederhana dan panjang. Pada masa sama, tidak abaikan tanggungjawab sosial, di mana projek yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kedah. Untuk jayakan aspirasi ini, aspek pembangunan modal insan juga diberi perhatian. Saya mahu lihat anak Kedah berkemahiran tinggi dan menepati permintaan pasaran agar mendapat faedah daripada pembangunan.

Apakah inti pati perancangan Makmal Transformasi Kedah (MTK)?

Mukhriz: Perancangan ini meliputi jangka masa lima tahun, dalam usaha kekalkan BN sebagai pemerintah. Kita juga ada jangka masa 10 dan 15 tahun. Melalui MTK, saya akan buktikan pada rakyat, ada yang boleh dilaksana dalam tempoh sepenggal, ada untuk jangka masa panjang. Saya percaya apabila rakyat pilih BN, itu harapan mereka terhadap kerajaan yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat. Kita perlu ada strategi berkesan selain berfikir di luar kotak serta memiliki pelaksana yang efisien. Sistem penyampaian juga mesti mantap untuk elak projek gajah putih atau sebarang penyelewengan.

Bagaimana pula dengan aspek sosial, budaya, warisan yang banyak diwarisi negeri ini selaku negeri tertua di negara ini?

Mukhriz: Aspek itu juga tidak akan dilupakan. Kedah sememangnya kaya dengan unsur sejarah, budaya dan warisan. Saya berhasrat untuk hidupkan semula bagi tujuan pelancongan, selain mahu anak muda kita mengenali latar belakang budaya sendiri. Dengan cara ini, mereka akan bangga menjadi anak Kedah selain lebih jelas mengenai jati diri. Sekarang ramai anak Kedah berhijrah untuk cari kerjaya yang menepati cita rasa, ini suatu kerugian. Selain wujudkan peluang kerja dan niaga di sini, saya mahu pupuk rasa sayang golongan muda terhadap negeri ini dan usaha akan dibuat dalam pelbagai cara, antaranya memperhalusi sejarah negeri di peringkat sekolah. Saya juga berhasrat kembalikan kegemilangan budaya Kedah, seperti persembahan Mek Mulung sebagai tarikan baru. Aspek pembangunan pelancongan di Langkawi mahupun tanah besar juga perlu ada ciri-ciri tersendiri untuk serlahkan identiti Kedah, contohnya, Lembah Bujang.


Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, adakah BN berjaya menunaikan sebahagian janji-janji dalam manifesto pada PRU13 lalu?

Mukhriz: Matlamat kerajaan negeri adalah untuk tunaikan Akujanji BN, sama ada cepat atau lambat sahaja. Setiap yang disenaraikan sudah diagih kepada Exco berkaitan mengikut portfolio masing-masing untuk diperhalusi. Contohnya, aspek agama yang mahu perkasakan semula sekolah pondok dan maahad tahfiz, di mana kita sudah salurkan dana. Kita juga akan bagi keutamaan pada pembangunan Maktab Mahmud yang berjaya lahirkan ramai ilmuan agama. Bagaimanapun, untuk projek ekonomi ia ambil masa, dan saya harap dalam tahun pertama ini dapat lancarkan beberapa projek besar, seperti Bandaraya Getah Kota Putra di Padang Terap. Kita sedang kenal pasti beberapa syarikat pelabur berteknologi tinggi untuk projek itu. Pada 22-24 Ogos ini, saya akan mengiringi Perdana Menteri ke Bangkok untuk jumpa Perdana Menteri Thailand, untuk memperhalusi memorandum persefahaman yang ditandatangani itu.

Pembinaan litar lumba untuk golongan muda antara janji manifesto yang menjadi tarikan, adakah ia akan menjadi kenyataan?

Mukhriz: Projek itu masih dalam perbincangan, saya sedang berusaha untuk jalin kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk merealisasikan projek ini. Ini penting kerana mereka ada kepakaran termasuk acara peringkat kebangsaan yang mungkin boleh memanfaatkan litar baru ini. Saya akan pastikan projek ini dilaksana secepat mungkin.

Isu pembalakan dijadikan agenda sebelum PRU13, adakah Datuk akan lebih selektif berikutan Datuk antara individu yang mendokong gerakan hentikan pembalakan di Pedu melalui Jaringan Gelombang Merah sebelum ini?

Mukhriz: Saya kotakan janji di mana isu itu ditangani dengan baik. Alasan kerajaan terdahulu untuk tebang balak tetapi berselindung di sebalik bangunkan ladang buah di Pedu, sudah dihentikan. Kita hanya teruskan pembalakan secara selektif untuk elak pencemaran alam sekitar. Ini yang kita bangkitkan dalam Akujanji BN PRU13. Pembalakan dalam Tasik Pedu pernah dibangkitkan oleh BN sebelum ini, namun ia perlu dikaji sama ada berbaloi untuk diteroka atau sebaliknya. Pokok balak itu ditenggelami air dan ia tidak menyumbang kepada ekosistem. Kayu bernilai tinggi itu tetap bertahan walau terendam lama dalam tasik. Jika kos dapat dikawal ada kemungkinan kita akan kaji. Kedah akan terus mempraktikkan amalan sebelum ini, di mana pembalakan dibuat secara tender untuk tingkatkan pendapatan.

Kerajaan negeri berhasrat untuk lakukan transformasi ke arah negeri berteknologi tinggi?


Mukhriz: Kedah sinonim dengan tanaman padi dan sudah selesa dengan status itu, namun dari aspek struktur tidak memberi pulangan besar, malah petani tidak beroleh hasil lumayan. Formula itu perlu diberi nafas baru, adakah kita berani keluar dari zon selesa? Saya sedar peranan Kedah sebagai pembekal makanan negara namun ia menjadi faktor menyekat pembangunan negeri. Perlu cari satu formula baru untuk kedua-duanya tanpa korbankan mana-mana aspek. Saya juga perlu yakinkan semua pihak untuk buat perubahan ini.

Adakah ini bermakna tanah sawah akan bertukar status tanah industri?

Mukhriz: Kita masih ada tanah yang bukan tanah sawah untuk dimajukan sebagai taman industri, seperti di Bukit Kayu Hitam, di mana 3,000 hektar sudah dikenal pasti. Perbincangan turut diadakan dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk kita bangunkan kawasan pinggiran Mada sekitar 8,000 hektar. Kita akan bangunkan Alor Setar sebagai Bandaraya Metropolis yang menjadi tumpuan ilmuan dengan wujudnya universiti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berteknologi tinggi.

Bagaimana dengan dakwaan Selatan Kedah lebih maju berbanding Utara Kedah?

Mukhriz: Perbezaan ini wujud kerana kawasan Selatan mengambil manfaat kerancakan ekonomi Pulau Pinang. Saya akan wujudkan pembangunan riadah di Selatan untuk tarik rakyat Pulau Pinang untuk melancong ke Kedah. Bagi Utara yang juga kawasan sempadan juga berpotensi dimajukan, saya yakin apabila projek Kota Putra dan Kota Perdana Bukit Kayu Hitam dibangunkan, pertumbuhan ekonomi rancak. Kita akan wujudkan hab logistik untuk kumpul dan edar produk PKS Kedah ke seluruh negara termasuk eksport ke Thailand. Kedah Utara bakal alami fasa pertumbuhan pesat namun berbeza sektor dengan kawasan Selatan.

Apakah perkara paling mencabar dalam tempoh 100 hari mentadbir?

Mukhriz: Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai pihak untuk terima transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya. Transformasi ini bukan perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang menuntut mereka keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah nasib secara drastik. Ia perlukan keberanian.

Apa yang dapat Datuk rumuskan sepanjang menerajui Kedah?



Mukhriz: Saya akui masih dalam proses pembelajaran dan pengalaman di MITI banyak membantu. Setakat ini ia adalah perjalanan yang menarik. Ada yang berkata, untuk menawan hati rakyat Kedah mudah sahaja iaitu gunakan pendekatan mesra dan mudah berkomunikasi untuk menang PRU. Saya sudah cuba tetapi ia tidak cukup, yang penting perlu tunaikan janji yang dibuat dalam usaha tingkatkan taraf hidup rakyat. Ini keutamaan saya. Bukan mudah untuk yakinkan orang untuk buat perubahan. Saya tidak mahu lihat Kedah terbelakang lagi, saya mahu Kedah pesat membangun dan yakin ia boleh dilakukan. Saya akan cari peluang terbaik dan teroka potensi Kedah, anda akan teruja dengan apa yang kita ada kelak. Saya optimis dalam tempoh lima tahun, Kedah akan berubah wajah!

SEMPENA 100 HARI YAB DATUK MUKHRIZ TUN MAHATHIR SEBAGAI MB KEDAH:Imbas kembali hari pertama sebagai MB

SEMPENA 100 HARI BN KEMBALI BERKUASA DI KEDAH 100 HARI DATUK MUKHRIZ SEBAGAI MB: Imbas kembali Hari Pertama Datuk Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah

Wawancara Exco Kerajaan Kedah YB Datuk Mohd Tajuddin Abdullah :Kempen Kibar Jalur Gemilang

Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2013 ~ Daerah Baling

Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2013 ~ Daerah Baling Version 2